KUALA
LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- "Mak, terima kasih. Walau pun anak mak ni kurang
upaya tetapi masih dapat buat yang terbaik untuk negara." Sesiapa sahaja
yang berada ketika ungkapan kata itu diluahkan atau hanya mendengarnya melalui
laporan media, pasti akan terguris emosinya. Itulah ungkapan luhur pemanah
paralimpik negara, Hasihin Sanawi selepas beliau berjaya merangkul pingat perak
pada temasya Sukan Paralimpik London baru-baru ini. Seraya kejayaan merangkul
pingat perak pada temasya sukan terbesar bagi atlet kelainan upaya itu, Hasihin
kini berjaya menempatkan dirinya sebagai pemanah paralimpik keempat terbaik
dunia. Biarpun namanya tidak setanding atlet tersohor negara seperti Datuk Lee Chong
Wei (badminton) dan Datuk Nicol Ann David (skuasy), pemuda berusia 29 tahun itu
tidak cepat alpa dan sentiasa merendah diri. Kekurangan yang dimiliki beliau
bukanlah penghalang untuk mencipta nama di peringkat tempatan dan seterusnya
mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
TEMPAT MULA KENALI SUKAN MEMANAH
Segala-galanya
bermula di Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Selangor dan Wilayah
Persekutuan, yang kini dikenali sebagai Rumah Insaniah Dr Siti Hasmah di
Petaling Jaya pada 2010, di mana beliau pertama kali mengenali sukan memanah.
"Selepas kemalangan pada 2005 semasa membantu ayah membina rumah,
kedua-dua belah kaki saya lumpuh. Ketika itu saya dan keluarga semacam buntu,
namun tidak berputus harap untuk terus mendapatkan rawatan bagi memulihkan
keadaan saya. "Doktor kata kecederaan saya sukar dipulihkan. Saya memang
putus harapan sebab tidak lagi dapat membantu keluarga. Doktor yang merawat
saya mencadangkan agar saya menjalani pemulihan di PPOC. "Masa saya mula
masuk ke PPOC, saya tengok beberapa penghuni di situ giat jalani latihan
memanah, antaranya Allahyarham Salam Sidik. Dari situ timbul minat saya untuk
belajar sukan memanah," kata Hasihin. Di bawah bimbingan jurulatih
Amirullah Ahmad pada Majlis Sukan Negara (MSN), Hasihin mula meniti kejayaan
dalam sukan memanah.
IBU BAPA KURANG YAKIN
"Pada mulanya, ibu bapa saya tidak begitu
yakin dengan keputusan saya untuk menjadi atlet sepenuh masa. Mereka lebih rela
saya tinggal di rumah dan di jaga mereka," kata Hasihin, anak ketiga
daripada empat beradik pasangan Sanawi Mat Nin dan Sapiyah Mat Yan. Ibu bapa
mana yang tidak prihatin terhadap keperluan anak mereka dan tidak kurang
memberi dorongan dan sokongan. Kecederaan kekal yang dialami Hasihin telah
membuatkan ibu bapanya pada awalnya seakan tidak rela untuk berenggang
dengannya. "Semasa di PPOC, Hasihin ada menyatakan hasrat untuk menceburi
sukan memanah, saya dan isteri kurang yakin. "Namun lama kelamaan selepas
melihat kesungguhan dan semangatnya dalam sukan itu, kami sekeluarga gembira
dengan perubahan yang ditunjukkan. Kami kini sentiasa menyokong Hasihin dari
belakang. "Ibu bapa mana yang tidak bangga bila anak kandung mereka
berjaya mencapai kejayaan yang besar untuk negara. Kami amat berbangga dengan
kejayaan yang diraih Hasihin," kata bapanya.
TIADA SEBAB UNTUK MERENDAH DIRI
Kajian
psikologi telah menunjukkan Orang Kelainan Upaya (OKU) lebih cenderung untuk
merasa rendah diri dan tidak banyak bergaul dengan orang lain. Akibat daripada
itu, ia adalah antara sebab mengapa Malaysia sukar untuk mendapatkan bakat baru
atau melibatkan golongan OKU untuk bergiat dalam bidang sukan. Hal berkenaan
diakui atlet elit olahraga paralimpik kategori cacat penglihatan, Hemala Devi
Eni Kutty. "Memang sukar pada mulanya untuk bergiat dalam sukan khususnya
sukan kompetitif seperti olahraga. Bukan mudah... ada masa berjaya, ada masa
ada rasa kecewa. "Saya sangat
berharap semua ibu bapa yang ada anak istimewa, jangan biarkan anak mereka
terperuk di rumah sahaja. "Mereka perlu didedahkan dengan dunia luar, antaranya
sertai bidang sukan. Dengan cara ini, ia membantu mereka lebih terbuka dan
tidak memencilkan diri," katanya. Nasihat Hemala Devi kepada ibu bapa yang
mempunyai anak kelainan upaya ialah supaya tidak merasa malu dengan kecacatan
yang dialami oleh anak mereka. "Sudah tiba masanya anak istimewa ini diberi
bantuan dari segi pendidikan, sosial,
psikologi dan keyakinan diri," kata atlet yang turut membawa cabaran negara
pada Sukan Paralimpik London 2012.
SOKONG ORANG KELAINAN UPAYA
Atlet senior, P.Mariappan, atlet powerlifting
yang pernah menyumbangkan dua pingat gangsa pada Sukan Paralimpik, pula melahirkan
kebimbangan kerana tidak ramai atlet muda yang mahu melibatkan diri dalam sukan
berkenaan. "Boleh dikatakan saya agak bimbang dengan sukan powerlifting
kerana tidak ramai yang mahu sertai sukan ini," kata atlet yang berusia 54
tahun itu. Mariappan telah mewakili negara pada temasya Paralimpik di Seoul,
Korea Selatan pada 1988; Barcelona, Sepanyol (1992); Atlanta, Amerika Syarikat
(1996); Sydney, Australia (2000), Athens, Greece (2004), Beijing, China (2008)
dan London, England (2012).
Daripada tujuh penampilan beliau pada temasya
sukan terbesar bagi atlet kelainan upaya itu, Mariappan berjaya meraih dua
pingat gangsa, masing-masing pada temasya di Seoul dan Barcelona. Katanya,
dalam mendorong golongan OKU berjaya dalam apa-apa bidang sekalipun, perspektif
masyarakat di negara ini terhadap golongan itu haruslah positif. "Janganlah
melihat kekurangan kami sebagai halangan dan alasan untuk memberi peluang dan
membantu kami. Kami perlukan sokongan anda semua," kata Mariappan. Mengambil
pengalaman berada pada dua temasya Sukan Paralimpik di Beijing (2008) dan
London (2012), masih ada banyak ruang yang harus dipelajari rakyat Malaysia
dalam menerima atlet atau orang kelainan upaya seadanya. Pendedahan terhadap
sukan kompetitif baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa perlu
diberikan kepada pelajar di sekolah pendidikan khas. Lebih awal sukan itu
dipupuk, lebih awal mereka pelajari skil bersukan dan membentuk keyakinan diri,
disiplin dan sikap berdikari. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan dan
Majlis Sukan Negara banyak memberi bantuan dan sokongan kepada atlet kelainan
upaya negara dari segi latihan, peralatan sukan, perubatan, elaun dan ganjaran.
Ia adalah sesuatu tindakan positif dan membuktikan atlet dari kalangan orang kelainan
upaya juga diberi fokus dan dihargai.
-- BERNAMA
FA CR
No comments:
Post a Comment